Sunday, October 13, 2013

Kenyataan Calon Ketua Pemuda Malaysia, Akhramsyah Sanusi, Bersabit Keputusan Pemilihan 2013

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan rasa terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu pada pemilihan ini. Jalinan hubungan serta persahabatan baru yang terjalin dari Masjid Tanah ke Penampang, JB ke Bachok, Pokok Sena ke Kuantan, serta banyak lagi, amatlah dihargai.

Saya juga ingin merakamkan rasa puas hati bahawa setidak-tidaknya sepanjang tempoh 3 minggu lepas, laungan Hidup Melayu kembali ke bibir Pemuda setelah meninggalkannya begitu lama. Jelas Pemuda mahukan laungan tersebut kembali dan saya harap pemenang-pemenang pemilihan menyedari hakikat yang masih perlunya ada peranan Pemuda sebagai pendesak, bukan beraktiviti liberal dan progresif semata-mata.

Terdapat pelbagai perkara boleh dipelajari dari pemilihan ini, yang banyak sekali perlu diperbaiki. Contohnya, tata-etika berkempen yang berubah-ubah sehingga terlalu memberi kelebihan kepada penyandang mana-mana jawatan, jelas terlihat pada keputusan sayap-sayap Pemuda dan Wanita. Pengalaman saya dalam melalui pertandingan ini insya Allah akan saya rakamkan dalam sebuah buku untuk diamati oleh semua yang berminat.

Di sini, saya ingin merakamkan juga rasa syukur saya yang mahkamah rayuan telah menolak rayuan majalah Kristian Herald untuk membolehkannya menggunakan Kalimah Allah. Ini merupakan kejayaan gabungan NGO Islam serta Melayu dalam mempertahankan hak serta aqidah ummah. Saya juga ingin mengucapkan 'Selamat Hari Raya Aidil Adha' kepada semua umat Islam.

Akhir kata, saya ingin mengesyorkan semua perwakilan UMNO yang layak memilih barisan kepimpinan UMNO yang baru pada 19 Oktober ini, pilihlah Datuk Paduka Mukhriz bin Tun Dr Mahathir sebagai salah seorang Naib Presiden kita. Terima kasih.

Ikhlas, Akhramsyah Sanusi
Di Perkarangan Kompleks Mahkamah Putrajaya

Wednesday, October 09, 2013

Kenyataan Akhramsyah Sanusi, Calon Ketua Pemuda, Tentang Tohmahan Tony Pua Terhadap Utusan Dan Pendaftar Pertubuhan (ROS)

KENYATAAN AKHBAR
Tarikh : 10 Oktober 2013 Masa : 9.00 pagi Tempat : Sunway Hotel, Seberang Perai, Pulau Pinang

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum WBT dan salam sejahtera.
Terima kasih di atas kesudian rakan-rakan media untuk hadir ke sidang media hari ini.
Sidang media ini diadakan dengan tujuan untuk menyatakan pendirian saya mengenai isu penghinaan Ketua Publisiti DAP, Tony Pua ke atas Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan akhbar Utusan Malaysia.


Anjing Yang Setia

Tony Pua mungkin tersilap merujuk gelaran "anjing" kepada ROS dan akhbar Utusan Malaysia itu, yang sebenarnya ditujukan kepada dirinya sendiri kerana beliau dilihat begitu setia dan konsisten ‘menyalak' demi mempertahankan tuannya dalam parti DAP. 

Sebagai graduan salah sebuah universiti tersohor di dunia, adalah agak meragukan sekiranya Tony Pua tidak faham punca sebenar (root cause) tentang isu pemilihan CEC berbanding dengan pemikiran seekor anjing.

Untuk makluman semua, yang buat pemilihan CEC adalah parti DAP, yang tidak menghantar surat jemputan kepada perwakilan adalah di kalangan pengurusan tertinggi DAP, yang tidak tahu menggunakan perisian Microsoft Excel adalah juga di kalangan pengurusan DAP dan yang paling penting aduan yang dibuat kepada ROS adalah dari kalangan ahli-ahli DAP sendiri.

Justeru itu, mengelarkan ROS dan Utusan Malaysia sebagai ‘anjing' UMNO dan mengaitkan ketiga-tiganya adalah satu perbuatan yang bertentangan dengan logik akal manusia. Ini berbeza dengan tabiat dan pemikiran seekor anjing yang pasti akan menyalak setiap kali tetamu datang ke rumah tuannya, walaupun sebenarnya tetamu tersebut adalah daripada kalangan saudara terdekat tuannya.

Perlu diingat UMNO dahulu pun pernah diharamkan ROS pada tahun 1988. Ini menunjukkan kewibawaan dan profesionalisma ROS dalam menjalankan tugasnya memantau pertubuhan-pertubuhan termasuk DAP juga.

("Maybe Oxford grads are just good to be barking dogs", which I believe it is not true)


Kesimpulan

Saya secara peribadi serta mewakili rakan-rakan Pergerakan Pemuda UMNO dari seluruh pelusuk tanahair ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada pihak ROS yang telah menjalankan tugas mereka berdasarkan aduan-aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP. Ini menunjukkan bahawa walaupun sebagai agensi kerajaan di bawah pentadbiran parti Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO, ROS tidak memilih bulu dalam melaksanakan tugas yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka walaupun aduan-aduan tersebut dibuat oleh ahli-ahli parti pembangkang sekaligus menunjukkan ketelusan, kepercayaan dan kebergantungan rakyat kepada agensi kerajaan yang selama ini dilabelkan dengan pelbagai persepsi negatif.

Kami juga ingin menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada akhbar Utusan Malaysia yang berterusan melaksanakan tanggungjawab sosialnya dalam membawa suara akar umbi ahli DAP yang mahukan satu proses pemilihan parti DAP dijalankan secara telus, walaupun selama ini Utusan Malaysia seringkali dikaitkan sebagai milik parti UMNO dan hanya membawa suara orang Melayu sehingga dituduh sebagai akhbar bersifat rasis. Kini terbukti tuduhan tersebut tidak benar kerana Utusan juga menjadi penyambung lidah dan keluh kesah ahli-ahli akar umbi DAP yang majoritinya bukan Melayu.

Sebagai seorang ahli UMNO, sebuah parti yang meletakkan kesucian agama Islam sebagai salah satu asas penting dalam penubuhan dan perlembagaannya, saya mendesak Tony Pua memohon maaf secara terbuka kepada seluruh ahli UMNO, kakitangan ROS dan kakitangan Utusan Malaysia di atas tindakannya yang begitu biadap dan celupar sehingga melangkaui batas serta nilai-nilai murni kehidupan masyarakat yang selama ini hidup harmoni dan memahami serta menghormati pegangan agama masing-masing serta sensitiviti antara pelbagai kaum.

AKHIR SEKALI, SAYA INGIN MENGESYORKAN AGAR SETIAUSAHA AGUNG DAP, YAB LIM GUAN ENG, MELETAK JAWATAN ATAS KEGAGALANNYA MENTADBIR DAP SEHINGGAKAN MENGAKIBATKAN DAP KINI DI AMBANG PEMBATALAN PENDAFTARANNYA. MUNGKIN TUGAS YAB LIM SEBAGAI KETUA MENTERI PULAU PINANG TERLALU BERAT UNTUK DIPIKUL BERSAMA DENGAN TUGAS SETIAUSAHA AGUNG PARTI DAP, WALLAHUALAM PUNCA KEGAGALANNYA, TETAPI JANGANLAH BIARKAN PEMIMPIN PARTI DAP LAIN MENJADI MANGSA SEMATA-MATA UNTUK MENUTUP KECACATAN PERLAKSANAAN TANGGUNGJAWAB YAB LIM SEBAGAI SETIAUSAHA AGUNG DAP.

"Demi Agama, Bangsa dan Tanahair"


Yang Ikhlas,

AKHRAMSYAH MUAMMAR UBAIDAH BIN SANUSI

Tangential Malay Search Results